PAS tak cukup hijau, kata MCA
6:52PM Okt 9 2013
Walaupun hijau menjadi warna rasmi PAS, ia bukanlah sebuah parti untuk aktivis alam sekitar jika dinilai daripada aspek kelemahan pengurusan hutan, kata MCA.
Timbalan ketua publisiti MCA Loh Seng Kok berkata, kedua-dua Kedah dan Kelantan menjadi mangsa pembalakan berterusan, yang menyebabkan menjejaskan alam sekitar.
Merujuk kepada makluman bekas exco Datuk Husam Musa berhubung permohonan membalak yang mudah, MCA berkata, pengurusan hutan di negeri itu patut diteliti lebih mendalam.
"Akal waras boleh menentukan bahawa sudah tentu lebih daripada permohonan dua halaman diperlukan untuk sebarang projek meliputi 1,400 kawasan konsesi. Adakah Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dikemukakan ?
"Sudah tentu EIA oleh jurutera alam sekitar atau pakar perhutanan akan lebih tebal daripada dua halaman," kata Loh (atas).
Keputusan 'Tok Guru' tolak permohonan baru
Husam (PAS-Salor) semalam dilapor memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa pemberian bidang tanah yang besar tanpa tender sangat meragukan.
Katanya, di zaman pemerintahan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini, kawasan besar sebegitu tidak akan dianugerahkan kepada individu hanya melalui permohonan dua halaman dan segera dipertimbangkan.
Naib presiden PAS yang membahaskan usul Belanjawan 2014 Kelantan antara lain membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.
Menyentuh isu pembalakan itu, Husam (atas) meminta kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan berkenaan, lapor Bernama.
Tegasnya ketika Kelantan diteraju Nik Aziz - yang dirujuknya sebagai "Tok Guru" - keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu mesti ditolak.